Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Monday, January 23, 2017

Misi jejak Aceh-Langkasuka : Forum Batu Aceh di Patani, asbab utama perjalanan dibuat

Salam semua. Sukacita dimaklumkan Sabtu lalu saya telah berjaya menamatkan pengembaraan pertama saya untuk tahun 2017, setelah 9 hari 9 malam berkeliaran jauh di rantau orang termasuk berada di selatan Thailand 13-17 Januari. Sedikit pengenalan tentang perjalanan telah diberikan dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Pembukaan malam Jumaat yang dibuat 5 hari lalu. Hari ini, apabila bercerita tentang aktiviti hari ke-3 perjalanan baru dapat diterangkan kenapa siri penceritaan perjalanan dipanggil sebagai "Misi jejak Aceh-Langkasuka".



Sekitar seminggu dua sebelum perjalanan ini dimulakan 12 Januari saya mendapat tahu tentang acara yang tertera di atas Saya tertarik kerana soal Batu Aceh atau lebih tepat, Batu Nisan Aceh menjadi perbincangan utama selain mendapat tahu akan diadakan lawatan ke makam-makam lama berkenaan. Inilah menjadi asbab utama pengembaraan terbaru yang membuka kalendar perjalanan saya untuk tahun 2017 ini dibuat. Lihat sendiri tajuk acara iaitu forum "Batu Aceh" dalam gambar. Disebut sekali : "Sejarah Langkasuka yang berhubung kait dengan penemuan Batu Aceh di Patani Darussalam". Bukankah ini merupakan satu misi jejak Aceh-Langkasuka sekurang-kurangnya di Patani yang kita kenali hari ini?

Untuk makluman, Patani dahulukala iaitu sebelum kalah perang kepada kerajaan Thai penghujung abad ke-18 Masihi meliputi wilayah yang berpuluh kali ganda, mungkin lebih 100 kali ganda lebih luas berbanding sekarang. Sejarawan menyatakan bahawa Patani berasal daripada kerajaan Langkasuka sedangkan ada yang percaya Langkasuka adalah kerajaan lebih besar yang pernah meliputi Kedah dan beberapa lagi kawasan. Saya pula mendapati semua kawasan dalam liputan perjalanan ada kaitan tersendiri dengan kerajaan Aceh sekurang-kurangnya melalui kewujudan batu-bau nisan unik yang dikenali sebagai Batu Aceh. Maka sesuailah jika nama siri cerita perjalanan dipanggil sebagai "Misi jejak Aceh-Langkasuka". Sekarang biarlah disambung cerita daripada artikel hari ke-2 perjalanan yang dipersembahkan 4 hari lalu iaitu Misi jejak Aceh-Langkasuka : Air terjun Gunung Stong dan faktor 313 sebelum masuk ke selatan Thailand.



Pagi Sabtu 14 Januari 2017, masuk hari ke-3 perjalanan buat saya dan dua orang kawan wanita yang datang bersama dengan menaiki kereta dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru, Kelantan Khamis malam Jumaat 12 Januari. Itulah hari pertama saya dapat melihat wilayah Patani pada waktu siang. Lihat artikel Patani town from the 5th floor of a main hotel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Bagi kawan-kawan lain yang datang melalui penerbangan dari Subang ke Kota Bahru petang Jumaat, itu adalah hari ke-2 perjalanan. Bersarapan beramai-ramai di hotel sebelum bersiap untuk keluar.



Forum dijadualkan bermula hari Sabtu itu jam 9 pagi. Sekitar jam 8,45 kami meninggalkan hotel untuk ke lokasi.


Ia adalah Sekolah Amanasak, sebuah sekolah cemerlang dalam wilayah Patani sekarang.


Difahamkan ia adalah satu sekolah yang gigih menerapkan nilai-nilai Islam sambil mengingatkan asal-usul penduduk Patani sebagai orang Melayu yang memiliki kebudayaan sendiri walaupun sejak lebih 200 tahun telah diserapkan ke dalam kekuasaan kerajaan Thailand yang beragama Buddha.


Namun sebagai satu wilayah yang kini dikuasai pihak lain mereka harus akur bahawa bahasa dan tulisan yang harus diutamakan secara rasmi adalah bahasa dan tulisan Thai.


Rombongan kami terdiri daripada 9 orang rakyat Malaysia, semuanya berbusana tradisional Melayu. Turut berada dalam rombongan adalah seorang Melayu rakyat Thai yang mengatur acara bersama seorang lagi Melayu rakyat Thai pemandu van yang ditemani seorang anak. Kami diajak masuk dahulu ke bilik mesyuarat oleh pengetua sekolah. Saya mendengar beliau dipanggil sebagai Ku Nab. Kalau tak salah nama Melayu beliau (rata-rata orang Patani memiliki 2 nama, satu dalam bahasa Thai satu dalam bahasa Melayu) adalah Tengku Zainab.





Sambil menunggu di bilik mesyuarat seorang kawan kami, saudara Zam membuka gerai buku.


Beliau biasa berniaga buku-buku ilmiah di majlis-majlis ilmu di merata Lembah Klang, sesekali di negeri-negeri lain. Untuk forum ini beliau membawa beberapa buku terbitan Malaysia yang dirasakan kena mengena atau ada melibatkan sejarah Patani mahupun Langkasuka.



Sekitar jam 10 kami diajak masuk ke dewan forum diadakan.








Di hadapan kelihatan saudara Ibrahim, rakyat Thai yang mengatur forum sedang membuat fine tuning projektor bersama tetamu khas dari Malaysia, Dato' Dr Othman Yatim. Beliau yang kami kenali sebagai Profesor Othman (secara rasmi memegang jawatan itu apabila berada di menara gading, beliau dah lama pencen tetapi pada bila-bila masa boleh dipanggil berkhidmat lalu menyandang lagi jawatan dan gelaran akademik tersebut) telah menulis beberapa buah buku ilmiah. Satu bukunya, "Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia" yang dibuat berdasarkan thesis PhD beliau di England sekitar tahun 1985 kalau tak salah menjadi rujukan ramai termasuk oleh para sarjana antarabangsa dalam mengkaji batu-batu nisan Aceh. Ini merujuk pada batu-batu nisan yang memiliki bentuk-bentuk ukiran tertentu, dipercayai ditempah khas dari Aceh kerana ketinggian mutu seni dan bahan buatan yang susah hendak ditemui di tempat lain.





Dewan pula dipenuhi oleh sejumlah anak muda dan orang dewasa. Nampaknya mereka terdiri daripada guru-guru sekolah, ahli masyarakat tempatan dan para aktivis budaya dan sejarah.


Sambil pengenalan dibuat oleh moderator saya mengambil satu tempat di barisan hadapan. Untuk makluman saya adalah satu-satunya hadirin juga ahli rombongan yang datang membawa keris.


Menurut rancangan asal seperti yang tertera pada gambar paling atas, ada lima orang panelis akan berkongsi ilmu, seorang rakyat Malaysia iaitu Prof Othman, empat lagi rakyat Thai yang memiliki kedudukan tinggi dalam masyarakat. Namun atas sebab yang saya tak tahu apa keempat-empat rakyat Thai itu tidak dapat muncul. Sebaliknya mereka digantikan oleh dua orang pengkaji muda sana.


Seorang bercakap tentang tinggalan kota lama yang dipercayai pernah dikenali sebagai Kota Mahligai, katanya pusat kerajaan Langkasuka sekitar abad ke-6 Masihi. Ditunjukkanlah gambar-gambar tinggalan kota yang berada dalam kawasan yang kini dikenali sebagai Yarang, sekitar 20 km di luar bandar Patani sekarang. 



Sambil itu kulit hadapan buku "Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia" tulisan Prof Othman menjadi latar belakang pada skrin projektor.


Othman pula mendengar dengan tekun dari satu sudut. Beliau mungkin merupakan satu-satunya ahli akademik Malaysia bertaraf profesor yang biasa berbusana tradisional Melayu di majlis-majlis ilmu. Semoga semakin ramai orang berkedudukan mengikut jejak langkah beliau untuk memartabatkan kembali warisan lama kita.


Selepas beberapa lama, panelis kedua anak muda menjadi tumpuan dengan bercakap tentang batu-batu nisan Aceh yang ditemui di wilayah Patani.





Kedua-dua ahli panelis ini mewakili kumpulan-kumpulan anak muda penggiat persendirian yang rajin mengkaji dan mengkaji untuk melestarikan sejarah lama Patani dan Langkasuka...






Sekitar jam 11 Prof Othman naik mengambil tempat. Beliau diharapkan untuk mengesahkan penemuan-penemuan para pengkaji muda Patani tentang batu Aceh di sana.


Othman membuka dengan menceritakan bagaimana beliau boleh tergerak untuk mengkaji tentang batu Aceh lebih 30 tahun lalu. Disebutlah tentang sejarah dan taburan batu-batu Aceh yang turut didapati di bahagian lain Asia Tenggara selain di Malaysia dan Aceh. Disentuh juga tentang kajian-kajian kemudian termasuk yang dibuat oleh pengkaji Barat.





Sesi soal jawab menyusul selepas pembentangan Othman tamat sekitar jam 11.38.


Selesai forum kami pun makan tengah hari kemudian bersolat di masjid dalam kawasan sekolah. Lihat artikel Masjid sekolah Amanasak (Mosque of the Amanasak school), Patani di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Menariknya ia menjadi masjid pertama saya singgahi dalam wilayah Patani. Mungkin ini petanda kecemerlangan lama Patani cuma dapat dicapai melalui kecemerlangan ilmu dan pembelajaran termasuk celik hakikat sejarah yang disampaikan kepada generasi muda sekarang?



Thursday, January 19, 2017

Misi jejak Aceh-Langkasuka : Air terjun Gunung Stong dan faktor 313 sebelum masuk ke selatan Thailand

Sementara ada ruang untuk menggunakan Wifi, sebelum bertolak ke destinasi seterusnya dalam pengembaraan terbaru ini biarlah diceritakan hari kedua perjalanan. Bersambung kita daripada artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Pembukaan malam Jumaat.



Pada penghujung artikel sebelum ini ada disebut tentang 'perkara menarik' yang terdapat di destinasi persinggahan hari itu. Pagi Jumaat 13 Januari 2017 selepas Subuh, apabila hari sudah sedikit terang baru dapat dilihat 'perkara' tersebut. Nampak tak dalam gambar atas?



Zoom in. Nampak jelas bukan apa 'perkara'nya...




Adapun tempat kami melihat 'perkara menarik' itu adalah sebuah masjid kampung di Kelantan. Lihat artikel Rupa baru masjid Jelawang (New look of the mosque of Jelawang) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lokasi tepat adalah di Jelawang, Dabong. Di masjid inilah saya dan dua orang kawan perempuan yang mengembara sama bermalam.



Bergambar lagi sebelum meninggalkan masjid. Di belakang adalah Gunung Stong di mana kelihatan 'perkara menarik' yang merupakan sebuah air terjun gergasi. Tetapi ketika ini ia sudah diliputi awan dan kabus tebal.



Bersarapan di gerai berdekatan/ Sudah disebut dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Pembukaan malam Jumaat bahawa seorang rakan perempuan saya panggil sebagai Kak Nora. Itu yang di kiri gambar ini Sekarang biar diperkenalkan yang di kanan. Kami panggil dia Sally.




Melihat gunung dari warung makan. Awan dan kabus dah terlerai. Air terjun gergasi seperti memanggil-manggil kami datang.



Pada artikel pertama di blogspot ini untuk tahun 2017 iaitu Rancangan tahun 2017 dan HIKMAH 313 yang ditulis 12 hari lalu ada diterangkan bagaimana telah muncul satu macam petunjuk agar saya singgah ke tempat ini. Baca betul-betul penerangan yang diberikan dalam artikel. Maka nampaklah apakah faktor 313 yang disebut-sebut di sini.


Selesai sarapan kami pun menuju ke arah air terjun. 


Sampai di bahagian kaki gunung menuju ke air terjun faktor 313 muncul dalam bentuk akta perhutanan yang berkenaan...


Kalau ikutkan mahu sahaja saya naik mendaki sampai ke gigi atas air terjun gergasi yang terletak pada ketinggian 1,600 kaki dari paras laut. Namun memikirkan faktor masa juga tenaga dengan dua orang rakan perempuan perlu diperhatikan selain selepas itu perlu berjalan jauh lagi untuk pergi ke Patani cukuplah kami sampai ke air terjun lebih kecil di bahagian atas pusat peranginan di kaki gunung. Lihat artikel Visiting Gunung Stong waterfalls after more than 6 years di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Memang ada sesuatu yang hebat dan terasa sakti tentang kawasan ini yang memberikan 'faktor 313' buat saya, faktor yang terkait dengan perjuangan demi meninggi syiar Islam. Keistimewaan tempat ini termasuk kaitan dengan watak legenda raja perempuan Kelantan yang dikenali sebagai Cik Siti Wan Kembang. Tak perlu dipanjangkan ceritanya di sini. Sudah saya kongsikan panjang lebar dalam artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Deja vu Gunung Stong dan misteri 313...  yang ditulis lebih 7 tahun lalu.



Hampir-hampir kami terleka menikmati keindahan kawasan kalau tidak kerana mengingatkan harus berada di Kota Bahru paling lewat selepas orang selesai bersolat Jumaat. Sekitar jam 10.25 kami pun meninggalkan kawasan menuju ke arah Jeli...




Kak Nora memandu kereta milik beliau sambil saya mengambil gambar pemandangan-pemandangan menarik sepanjang perjalanan.










Malam sebelumnya beliau telah memandu dari Kuala Lumpur ke Gua Musang. Selepas itu saya memandu sampai ke Dabong dan air terjun.



Beberapa kilometer selepas Jeli kami mengambil jalan menuju ke Rantau Panjang. Terserempak pula kereta dengan nombor 313...



Kami lalu sahaja di bandar Rantau Panjang.



Dah keluar sedikit ke arah Kota Bahru baru berhenti untuk singgah di masjid dengan reka bentuk Cina yang dikenali sebagai Masjid Beijing...







Perjalanan diteruskan ke Kota Bahru lalu masuk ke Kubang Kerian.



Makan di warung berdekatan masjid besar sana di mana saya sempat menunaikan solat Jumaat.



Selepas solat kami berziarah ke makam wali Allah terkenal Tok Kenali kemudian ke masjid dalam kawasan sekolah pondok yang didirikan beliau.


Di masjid ini kami menunggu orang untuk mengambil kami bertemu sejumlah lagi rakan yang akan masuk sama ke Patani dengan menaiki van. Kereta Kak Nora ditumpangkan di rumah seorang cucu Tok Kenali yang dikenali sebagai Ayah Man, ayahanda kepada pelakon dan pelawak Bob Lokman. Lihat artikel The colours at Tok Kenali mosque.




Sekitar jam 4 kami dibawa ke lapangan terbang di Pengkalan Chepa.



Setelah menunggu beberapa lama muncullah kawan-kawan lain yang datang menaiki pesawat dari lapangan terbang Subang di Kuala Lumpur.



Kami pun menaiki van yang disewa dari selatan Thailand.







Sekitar jam 6.30 petang baru sampai (sekali lagi bagi saya, Kak Nora dan Sally) ke Rantau Panjang. Barulah menyeberang sempadan masuk ke Thailand. Demi memudahkan urusan antara sempadan kami diminta berjalan kaki dari pusat imigresyen dan kastam Malaysia hingga ke pusat belah sana di Golok. Kami perlu menyeberang Sungai Golok yang membentuk sempadan semulajadi antara negara. Lihat Crossing Golor river at Rantau Panjang by foot.




Dari Golok perlu memandu 160 km untuk sampai ke Patani. Disebabkan urusan di sempadan hampir Maghrib baru kami bergerak. Perjalanan selepas itu berlaku rata-rata dalam kegelapan malam. Sampai di satu tempat kami diajak turun untuk menikmati juadah makan malam.



Tempat persinggahan ini katanya terletak di tengah perjalanan antara Golok dengan Patani. Menariknya ia adalah satu muzium persendirian yang mempamerkan banyak barangan lama orang Melayu. Lihat Muzium tempatan di (Local museum at) Khun Laharn.


Jam 9.40 waktu tempatan bersamaan 10.40 malam waktu Malaysia baru sampai ke hotel tempat kami menginap di bandar Patani.


Difahamkan ia adalah hotel terbaik di wilayah ini. Kemudahan yang ada pada saya bersamaan apa yang terdapat di hotel-hotel 4-5 bintang di Malaysia. Tetapi kadar sewa bilik seperti hotel 3 bintang ke bawah. Alhamdulillah...